Pada 12 April 2009 telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS, Kawasan Kapar yang dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shafawi bin Abd Rani. Pada majlis perasmian itu juga dihadiri oleh YB Dr Hj Abd Rani Osman yang merupakan YDP PAS Kawasan Kapar selain barisan kepimpinan PAS Kawasan Kapar dan wakil-wakil daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan Kapar, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kelab Penyokong PAS (KPP) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).


Pada sesi perasmian, ucapan telah dimulakan dengan Ketua Pemuda PAS Kawasan Kapar, Ustaz Haidar Taslin yang menekankan kepada keperluan untuk memantapkan organisasi dalaman bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah berusaha ke arah itu dengan menerapkan konsep 'Management by Objective' (MBO) dan 'teamwork' dalam pentadbirannya selain memberi fokus terhadap pembinaan ahli yang akan menguatkan dewan.

Dalam ucapan YB Dr Hj Abd Rani Osman pula, beliau telah menegur sikap-sikap negatif yang perlu diubah bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti dan kepimpinannya. Sikap acuh tidak acuh dalam sesuatu perkara perlu ditangani kerana hakikatnya PAS melaksanakan kerja-kerja Islam dan jika ahli-ahli PAS mempunyai sikap yang demikian akan menyebabkan orang akan memandang serong terhadap agama ini.

Ustaz Azman Shafawi yang telah memberi ucapan perasmian pula, telah menghuraikan senario terkini yang dihadapi oleh parti yang perlu difahami oleh setiap ahli. Hakikatnya, pendekatan dakwah dan politik yang dibawa oleh parti berbeza-beza mengikut suasana dan tempat. Justeru, ahli tidak boleh sewenang-wenangnya membanding-bandingkan sesuatu perkara tanpa asas yang kukuh. Namun, PAS mempunyai dasar dan matlamat yang sama iaitu untuk menegakkan Islam dengan memberi kefahaman yang jitu kepada masyarakat tentang agama ini.

Pada sesi perbahasan pula, DPPK telah menetapkan setiap pemuda cawangan mestilah diwakili oleh seorang pembahas. Para pembahas telah menyampaikan pelbagai cadangan, teguran, kritikan dan pandangan bagi meningkkatkan prestasi DPPK dan kualiti ahlinya. Rata-rata pembahas sangat perihatin dengan aspek tarbiyah (pendidikan) yang sangat perlu dipertingkatkan demi menghadapi cabaran semasa seperti yang diutarakan oleh wakil pemuda cawangan Meru Barat, Kg Delek Tengah, Teluk Kapas, Kg Delek Baru dan Jalan Dusun.
Selain itu, aspek komunikasi dalaman juga perlu dipertingkatkan sebagaimana yang disentuh oleh wakil pemuda cawangan Sg Saim, Simpang Tiga Jalan Yadi, Kg Delek Baru dan Taman Meru Indah. Pelbagai cadangan seperti meningkatkan jaringan SMS dan e-mail, melantik wakil DUN di dalam AJK DPPK, meningkatkan fungsi laman web/blog dan membina notis board DPPK.
Aspek ekonomi pula menjadi fokus dalam perbahasan daripada wakil pemuda cawangan Teluk Kapas, Taman Berkat, Jalan Yadi Sungai Udang, Batu Belah dan Meru Tengah. Mereka mencadangkan agar laman web Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (LEPU) diaktifkan agar ahli boleh bertukar maklumat perniagaan di dalam web ini, mewujudkan zon perniagaan untuk ahli pemuda dan menjana aktiviti pelaburan melalui bantuan-bantuan para peniaga di kalangan ahli dan penyokong.
Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-21, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar ini telah ditamatkan jam 5.30 petang dengan pengumuman barisan ahlijawatankuasa baru yang telah diundi oleh para perwakilan. Ketua menang tanpa bertanding iaitu Ustaz Haidar bin Taslin, manakala Timbalan Ketua pula disandang oleh Ustaz Yusri bin Miskan. Naib Ketua pula dimenangi oleh Ustaz Mohd Farid bin Zainal. Lapan AJK yang dipilih pula ialah Ir Hasrul Misrin, Adri, Mohd Izwan, Ahmad Fikri, Kheirul Farid, Mohd Farizan, Mohd Zainuri dan Mohd Azeman.

0 ulasan: