Alhamdulillah segala puji bagi Allah swt tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan baginda SAW dan ahli keluarganya. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pimpinan PAS Pusat khususnya Dewan Pemuda PAS Pusat, pimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, PAS Kawasan Kapar, ahli-ahli PAS khususnya di kawasan Kapar ini, sahabat-sahabat seangkatan di dalam Pakatan Rakyat, rakan-rakan Kelab Penyokong PAS, NGO-NGO, tuan-tuan guru, alim-ulamak serta muslimin-muslimat pendokong dan penyokong PAS yang dikasihi.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah melalui tahun yang ke-21, sempena dengan mesyuarat agungnya kali ini. Dalam tempoh ini, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah melalui pelbagai episod suka duka dalam lembaran perjuangannya dan telah sedikit-sebanyak membentuk saf kepimpinan di kawasan Kapar ini.

Kewujudan dewan ini sebagai sayap perjuangan parti di kawasan Kapar, telah memberi impak kepada perjuangan panjang untuk menegakkan Islam meskipun pelbagai ujian terpaksa ditempuh yang memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit terutamanya dari golongan terdahulu.


Memperkukuh Organisasi

Allah SWT telah berfirman di dalam surah As-Soff: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan Allah dengan berbaris-baris seumpama bangunan yang tersusun”. Saiyidina Ali Karamaullahu Wajhah pula ada mengatakan “Kebenaran yang tidak tersusun (organisasi) akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun (organisasi)”.

Dalam menyusur arus perubahan yang dijunjung rakyat, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah melihat peri pentingnya usaha dan idea baru untuk memperkukuhkan organisasi dewan ini bagi melaksanakan tanggungjawab dan peranan dakwah dengan lebih berkesan. Beberapa perubahan dalam struktur organisasi ahlijawatankuasanya yang dilihat tidak bercanggah dengan aspirasi Dewan Pemuda PAS Pusat telah dilaksanakan.

Selain daripada konsep ‘Management by Objective’ (MBO) yang diterapkan dalam menyusun aktiviti dan gerakkerjanya, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar juga telah cuba menerapkan konsep ‘teamwork’ di dalam perlaksanaan aktiviti dan gerakerjanya tadi, melalui kombinasi lajnah dan jabatan di dalamnya untuk melaksanakan objektif/matlamat yang hampir sama iaitu:
· Jawatankuasa Pemerkasaan Organisasi yang dianggotai oleh Lajnah Politik dan Pilihanraya, Lajnah Organisasi dan IT, Bendahari serta Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan.
· Jawatankuasa Penerangan & Perkaderan yang dianggotai olah Lajnah Penerangan dan Dakwah, Pengarah UKJ serta Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan.
· Jawatankuasa Pendidikan & Kemasyarakatan yang dianggotai olah Jabatan PASTI, Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan serta Jabatan Kerajaan & Swasta dan PAKSI.
· Jawatankuasa Amal dan Mesra Rakyat pula dianggotai olah Lajnah Sukan dan Kebudayaan, Jabatan Amal dan Jabatan Pembangunan Pelajar dan Mahasiswa.


Tarbiyah, Ukhuwah & Cintakan Pengorbanan

Melihat kepada cabaran dan tribulasi yang sedang dan bakal dihadapi oleh Dewan Pemuda PAS di Kawasan Kapar, terutamanya ketika pasca kemenangan ini, usaha tarbiyah perlu segera diperkemaskan agar ia menjadi benteng yang paling ampuh kepada saf pemuda. Benteng ini sangat diperlukan bagi menghindar anasair-anasir halus yang cuba menyelinap dan memusnahkan kesepaduan pemuda dari dalam dan memesongkan penghayatan pemuda kepada asas perjuangan dan ad-deen yang sejati:

Firman Allah swt:
“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku, satu-satunya jalan yang lurus, maka ikutlah ia, dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan terpesong dari jalan Allah, dan kamu akan jadi bercerai-berai dan porak peranda” (Surah Al-An’am: 153)

Tidak dinafikan, cabaran luaran dari sudut tanggugjawab dan beban tugas yang terpaksa dipikul nampaknya telah sedikit sebanyak menyebabkan tumpuan kepada tarbiyah ini sedikit terabai. Oleh itu, adalah wajar agar peringatan ini dilontarkan supaya saf pemuda tidak memandang remeh kepada aspek tarbiyah ini.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah mengorak langkah awal dengan menubuhkan Usrah Nuqaba’ Muda di bawah Lajnah Tarbiyah bagi memastikan usaha memperkemaskan tarbiyah berjalan lancar. Walaupun, ia masih belum menampakkan hasil yang memberangsangkan namun cetusan ini diharapkan mampu melonjakkan usaha tarbiyah untuk menjadikan usrah ini sebagai nadi utama kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar.


Generasi Pelapis

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sedar bahawa kewujudannya adalah untuk menjana seramai mungkin generasi pelapis di kalangan pemuda-pemuda yang cintakan perjuangan Islam. Dewan ini bukan sahaja perlu meraih seramai mungkin sokongan di kalangan golongan itu ketika musim pilihanraya, bahkan juga perlu membentuk mereka menjadi generasi pelapis.

Di sinilah peranan lajnah tarbiyah yang perlu diperkemaskan bukan sahaja untuk memperbanyakkan aktiviti bahkan juga perlu mempekayakan pendekatannya supaya pelbagai dan sesuai dengan golongan pemuda yang juga variasi sifatnya. Bentuk tarbiyah yang pelbagai ini diharapkan bukan sahaja dapat membentuk jiwa pemuda yang telah sedia cintakan Islam, bahkan juga dapat menarik minat pemuda-pemuda yang jauh dari Islam dan membesar dengan suasana yang sarat dengan gejala sosial.

Cabaran ini perlu digalas bersama berbekalkan keyakinan kepada Allah swt berdasarkan firmannya:
“Pada hari ini orang-orang kafir berputus asa daripada agama kamu maka jangan kamu takutkan agama mereka, takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah-Ku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan bagi kamu nikmat-ku dan telah Aku redha Islam menjadi agama kamu.” (Surah Al-Maidah: 3)


Perubahan kepimpinan negara dan gelombang rakyat

Negara telah menyaksikan perubahan kepimpinannya ke tangan Perdana Menteri yang keenam lewat perlantikan Datuk Seri Najib Tun Abd Razak. Walaupun dicemari dengan pelbagai tuduhan yang melatarii imejnya sebagai kepala negara melalui laporan media dalam dan luar Negara, namun usaha beliau untuk menangkis sekaligus membersihkan dirinya masih di tunggu-tunggu rakyat.

Umum melihat bahawa perubahan tampuk kepimpinan Negara ini tidak lebih daripada usaha Barisan Nasional bagi meredakan kemarahan rakyat dan meraih kembali sokongan yang telah hilang daripada mereka. Namun, usaha ini dijangka bakal menemui kegagalan kerana gelombang rakyat masih lagi belum surut walaupun cuba diasak media yang jelas berusaha keras melindungi Barisan Nasional.

Justeru, Pakatan Rakyat yang telah berjaya memerintah negeri Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak yang telah dirampas perlu memperlihatkan prestasi yang luarbiasa dalam pemerintahnya. Saf pemuda yang menjadi salah satu agen yang akan merakyatkan kepimpinan Pakatan Rakyat perlu bertindak pantas agar meluas sebaran tentang program-program kebajikan untuk rakyat dan juga ke arah menjadikan rakyat supaya mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab mereka kepada Allah swt dan sesama manusia.

Firma Allah swt: “Demi sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong agama-Nya, sesungguhnya Allah itu maha kuat lagi maha perkasa. Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kuasa memerintah di muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran dan bagi Allah sahajalah akibat segala urusan.” (Surah al-Hajj: 40-41)


Cabaran Ekonomi dan nasib umat Islam

Usaha-usaha untuk memberi kefahaman Islam dan seterusnya penghayatan kepada ajarannya yang suci itu perlu dilestarikan dan dijadikan agenda oleh para pejuang Islam di dalam parti ini khususnya golongan pemuda. Sifat-sifat sebenar seorang yang memahami lunas-lunas Islam yang syumul perlu ditampilkan dengan penuh bermesej agar ajaran Islam mudah diterima oleh semua lapisan kaum dan agama. Ini termasuk amalan berjimat-cermat dalam membelanjakan wang rakyat oleh para pemerintah, galakkan mengamalkan cara hidup bersederhana oleh pemimpin-pemimpin parti dan mudah didekati rakyat.

Amalan ini juga perlu diteruskan terutama ketika mana kita diuji dengan kemenangan demi kemenangan. Inilah juga amaran yang telah dilontarkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Demi Allah, aku tidak bimbang kamu menjadi fakir, tetapi aku bimbang apabila dibentangkan kepada kamu dunia sebagaimana dibentangkan kepada umat-umat yang terdahulu daripada kamu lalu kamu berkelahi sebagaimana mereka berkelahi, maka dunia membinasakan kamu sebagaimana pernah membinasakan umat-umat terdahulu.”

Dalam suasana ekonomi global yang sedang menghadapi keruntuhan ini, alternatif terbaik adalah sistem ekonomi Islam yang jauh dari amalan riba’. Keyakinan ini perlu disemaikan di dalam hati rakyat seluruhnya dengan akhlak dan kesungguhan pemimpin-pemimpin PAS untuk menghadapi cabaran yang getir ini. Justeru, gagasan kita yang ampuh perlu ditonjolkan segera agar dapat dilihat rakyat seluruhnya bahawa Islam itu agama penyelesaian. Dalam soal ini, kemungkinan agenda politik parti perlu kita ketepikan seketika bagi meraih sokongan kepada gagasan ajaran Islam itu sendiri.


Kembali kepada Islam

Sesungguhnya terlalu besar nikmat Allah swt kepada kita dengan mengenali Islam. Malah lebih besar lagi nikmat itu kerana kita mengenal perjuangan Islam. Tidak ramai di kalangan umat manusia memperolehi nikmat yang kita semua di sini perolehi. Namun, nikmat itu boleh sahaja diingkari jika kita tidak mahu mensyukurinya dengan mendalami kefahaman dan memperbaharui tekad kita terhadap perjuangan ini.

Allah swt boleh sahaja mengurniakan nikmat yang sangat besar ini kepada sesiapa pun. Namun, takdirnya anugerah ini telah kita perolehi untuk dihayati oleh kita semua. Justeru, insafilah perjuangan ini lahir daripada matlamat menegakkan Islam. Matlamat itu pula menjadi asas kepada kejadian dan kehidupan kita di muka bumi ini.

Firman Allah swt,
“Dan takutlah kamu pada hari kamu semua akan dikembalikan kepada Allah, lalu ditunaikan kepada tiap-tiap diri akan apa yang dilakukan dan usahakan dalam keadaan mereka tidak dizalimi sedikitpun”. (Al-Baqarah: 281)

Marilah kita bermuhasabah sejauh manakah pegangan kita dengan Islam, sejauh manakah perjuangan kita untuk Islam, sejauh manakah persaudaraaan kita di atas dsar Islam dan sejahuh manakah kita menggunakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah sebelum kita dihisab di hadapan Allah.

Siru wal’ala barakatillah.
Selamat bermukatamar dan bermuhasabah.

Sekian,

HAIDAR TASLIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar 2007-09

0 ulasan: